Sastera Islam
“Apabila kita menyebut sastera Islam dan penulis atau pemikir Islam, maka kita mesti mengatakan bahawa sastera dalam Islam adalah wadah untuk menyalurkan dakwah Islam. Dengan demikian sastera Islam adalah sastera yang terlibat (committed literature). Ia tidak terbuka kepada segala macam kebebasan yang membolehkan apa saja.”
[ Awang Haji Yahya Haji Ibrahim, (Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz), ‘Persoalan Akhlak dalam Sastera’, Simposium Serantau Sastera Islam, DBP, Brunei 1996 , hlm. 48 ]
“Sastera Islam mempunyai ciri-ciri khusus, yang menjadikannya tidak akan pernah sama dengan yang bukan Islam, atas beberapa faktor, antaranya: Sastera Islam hanya menjurus dan mengemukakan kebenaran dan kemuliaan, yang menjadikannya tetap suci dan indah buat selama-lamanya. Tapaknya ialah al-Quran dan hadis, iaitu sebagai sumber yang menentukan nilai, dengan matlamatnya ialah keredhaan Allah.”
[ Awang Haji Abdul Aziz Juned, (Yang Dimuliakan Pehin Tuan Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz), ‘Sastera Islam Mesti Bersuluh Kepada Wahyu Dan Ilmu Islam’, Simposium Serantau Sastera Islam, DBP, Brunei 1996 , hlm. 62 ]
“Sastera Islam itu sebagai sastera kerana Allah untuk manusia dapat diertikan bahawa karya itu dihasilkan oleh seorang penulis Muslim yang ingin berbakti kepada Allah, maka dia menulis karyanya yang mengandungi unsur-unsur pengajaran Islam seperti yang dianjurkan oleh Allah di dalam al-Quran, segala unsur pengajaran Islam dijadikan sebagai amanat yang diselitkan oleh pengarang dalam karyanya dengan harapan secara langsung atau tidak langsung ia dapat memberi kesan yang positif ke dalamdiri pembaca.”
[ Ismail Hamid, (Prof. Madya Dr), ‘Ciri-Ciri Kesusasteraan Islam’, Simposium Serantau Sastera Islam, DBP, Brunei 1996 ]
“Sastera Islam adalah sebagai sastera yang dilahirkan oleh penulis yang komited dengan pandangan hidup Islam dan sistem nilainya.”
[ Mohd. Kamal Hassan, “Forum Sstera Islam”, Dewan Sastera, Ogos 1977, hlm. 3 ]
“Sastera Islam yang dimaksudkan itu ialah pendapat atau pandangan serta pemikiran yang diilhamkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada seseorang mengenai kehidupan manusia sejagat lalu diluahkan mengikut ilusi, perasaan melalui kata-kata, tulisan dengan niat kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Mereka yang dilihamkan itu adalah terdiri daripada orang-orang Islam.”
[ Haji Sulaiman Haji Duraman, “Sastera Islam di Negara Brunei Darussalam”, Bahana, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Jun 2004, hlm. 27 ]
“Konsep Sastera Islam ialah sastera yang memancarkan sikap hidup yang bertakwa sambil menekankan kepada kebaikan-kebaikan amalan masyarakat, yang segalanya berlandaskan Al-Quran dan Sunah Nabi.”
[ Abdul Rahman Napiah, (Dr.), (Mana Sikana), “Sastera Islam Dan Hubungannya Dengan Sastera Melayu”, Sastera Melayu Klasik: Warisan Keemasan, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 2003, hlm. 147 ]
“Karya yang mengambarkan konsep dan nilai hidup Islam.”
[ Yusof Zaki Yaakob, “Sastera Islam di Malaysia”, Majalah Dian, 72, September / Oktober 1974 ]